Monday, December 15, 2008

Memori Perjalanan Mewarnai Zulhijjah 1

Zulhijjah hadir dalam suasana yang berbeza bagi aku sekeluarga. Berbeza kerana seperti juga Ramadhan dan Syawal, kami menerima kehadirannya tanpa ayahanda tercinta. Bererti tiadalah rasa teruja kami untuk bekejar ke masjid apabila tiba waktu menyembelih haiwan-haiwan korban seperti tahun-tahun sebelumnya bersama arwah ayah.

Tanpa merancang kami sekeluarga bertolak ke Perak untuk menyambut hari raya korban di kampung atas cadangan emak. Tentunya Opah sangat gembira dan terharu. Lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui bahawa kami akan tinggal di kampung selama hampir seminggu. Pasti meriah dan terkuburlah segala kesunyian dan kesepian di rumahnya itu. Lalu dua hari sebelum 10 Zulhijjah kami sekeluarga memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung di Batu Gajah ketika hampir gelincir matahari.

Perjalanan kami lancar walau pun terdapat banyak kenderaan di jalan raya menuju ke destinasi masing-masing. Di sepanjang perjalanan aku tertarik untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang sekian lama kurindui. Di sepanjang pinggir jalan yang kebanyakannya ditumbuhi pohon renek, aku tertarik kepada sejenis tumbuhan orkid yang tumbuh meliar. Tidak seperti lazimnya, kali ini ia tumbuh dengan begitu subur dan berkembang mekar serta menjangkau lebih banyak tempat di pinggir lebuh raya. Subhanallah. Syukur atas nikmat alam yang jarang-jarang aku perolehi.

Suatu ketika kami melewati ladang kelapa sawit. Aku tertarik dengan sebuah kawasan berbukit di situ yang gondol tetapi siap berteres. Pastinya baru disiapkan untuk penanaman anak sawit. Terdapat sebuah lembah di situ yang tidak diusahakan dan hanya tinggal pohon-pohon mati. Ada di antara pohon-pohon itu yang batang dan dahannya diliputi tumbuhan menjalar dan memanjat hingga tidak kelihatan langsung pohon tumpangnya. Unik. Ia umpama lembah subur yang ditumbuhi puing-puing hijau. Nyata Tuhan begitu pemurah lalu mencipta keindahan yang sederhana namun cukup menarik ini.

Berhenti sebentar - R & R Tapah. Hujan renyai-renyai masih berlarutan. R & R Tapah sesak dengan kenderaan persendirian, bas perlancongan dan sebagainya. Kami sekeluarga juga turut mencari tempat berhenti untuk solat jamak dan makan tengahari yang nyata telah lewat pada waktu lebih kurang jam 3 petang. Dingin. Nyaman. Titisan gerimis hujan diredah dalam berlari-lari anak. Rata-rata kami dan sekalian manusia yang hadir di situ ingin menyegarkan badan dan melepaskan lelah sementara. Alhamdulillah. Selesai solat nasi lemak panas menjadi santapan kami sekeluarga. Sungguh enak. Kami memuji-muji kesedapannya. Aku percaya keikhlasan dan sedikit rasa keimanan menjadi rencah terbaik bagi juadah ini.

Meninggalkan R & R dan meneruskan perjalanan aku tidak pernah lupa pada air terjun Lata Kinjang. Di suatu sudut lebuh raya itu sesiapa sahaja pasti berpeluang melihatnya mengalir deras walau hakikatnya begitu jauh. Aku selalu membayangkan betapa indahnya andai aku berpeluang menikmati kedinginan airnya dalam dakapan kedamaian alam yang subur dan menghijau dalam jajaran Titiwangsa itu. Aku begitu mengimpikannya. Kerana itu pemandangan melintasi Lata Kinjang sentiasa indah di mataku. Ia menyingkap tabir rindu pada suatu keinginan.

Lebuh raya diapit bukit-bukau yang gah berdiri di kiri kanan. Subur. Hijau. Jajaran Titiwangsa dilitupi pepohon kanopi yang disegarkan oleh suasana cuaca yang lembab dan hawa yang sederhana. Pemandangan ini adalah gerbang kepada daya tarikan seterusnya. Gua Tempurung. Aku digamit keasyikan setiap kali melalui laluan ini. Gua batu kapur yang tercipta sejak ratusan tahun dahulu dan kini memukau mata insan sepertiku. Banjaran Titiwangsa kelihatan berlapis-lapis di kejauhan dan damai diselimuti awan. Nyata tuhan maha Agung, maha Pencipta.

Akhirnya, Batu Gajah. Rasa girang dalam suasana dingin ketika itu menggamit keinginan kami untuk mengintai juadah minum petang. Medan selera berhampiran pasar basah Batu Gajah menghentikan langkah kami sementara. Char Kuay (kuih kocok - panggilan penduduk melayu tempatan), pisang dan keledek goreng panassss! Belum pun sampai ke rumah Opah, dah 'laris'...hihii.. Alhmdulillah. Buah tangan utk Opah dan pakcik juga.

Memijakkan kaki di halaman rumah Opah - tiada yang lebih indah dari melihat wajah Opah tersayang di samping menikmati kedamaian suasana kampung.

.

No comments: