Wednesday, December 17, 2008

Memori Perjalanan Mewarnai Zulhijjah 2

Hari yang sibuk. 9 Zulhijjah. Rata-rata sejak awal pagi umat Islam sibuk membuat persediaan untuk menyambut Aidil Adha esok hari. Opah juga sibuk hendak memenuhi keinginannya - makan lemang. Pucuk dicita, ulam mendatang. Begitulah diibaratkan bila kami sekeluarga beraya di kampung. Opah cukup yakin dengan kebolehan adik-adikku untuk membantunya mengisi dan membakar lemang. Kata opah, "pakar" lemang. Bukannya anak cucu yang lain tak pakar. Cuma pada hari raya fitrah yang lalu lemang opah tak menjadi. Atas bermacam-macam sebab mungkin tetapi ringkasnya tak ada rezeki. Berbalik kepada giliran kami; adik kembarku diberi kepercayaan untuk mengalas buluh dgn daun pisang dan mengisi pulut serta santannya. Bagi cucu-cucu lelakinya pula diberikan tugas membakar lemang dan mengawal api hingga selesai.

Di kala umat Islam seluruh dunia turut membuat persiapan untuk menyambut Aidil Adha dan melaksanakan ibadah korban esoknya, jutaan umat Islam lainnya juga sedang berhadapan dengan sebuah pengorbanan dan perjuangan yang besar. Mereka mengorbankan segala keegoan, kerakusan, kejahilan dan kelemahan diri. Biar dibakar terik mentari, ditampar hawa panas membara dan ditekan kesesakan. Namun tiada yang lebih manis dari sebuah pengorbanan demi mencari keinsafan dan keredhaannNya. Dengan kesabaran dan istiqomah umat Islam melaksanakan rukun haji yang ke dua. Perhimpunan agung yang menguburkan segala darjat dan perbezaan. Wukuf di Arafah.

Ia mengingatkanku kembali kepada ceramah Ust. Ismail Kamus yang pernah kudengar lama dulu. Ihram dan perhimpunan agung. Aku ringkaskan saja di sini tentang intipati ihram iaitu berniat dan berpakaian Ihram. Berpakaian ihram secara fizikalnya; sekadar kain putih menutupi tubuh. Seumpama sekujur jasad yang telah ditinggalkan rohnya kerana dijemput Allah swt. Tiada apa yang dibawa bersama ke alam 'sana'. Hanya sehelai kain putih. Segala darjat dan kebendaan terlucut dengan sendirinya dan tidak bererti lagi. Gugur jua segala hak dan tuntutan duniawi.

Perhimpunan agung; perhimpunan lautan manusia yang penuh sesak di padang luas yang kering dan tandus. Mentari bahang membakar keringat. Seumpama perhimpunan agung di Padang Mahsyar. Setiap manusia dibangkitkan semula untuk menghadapi perhitungan. Jalan ke syurga atau neraka? Itulah hasil semaian amal manusia di dunia. Masya Allah. Ilmu itu mengajarku betapa besar pengertian amal sebaik sahaja seorang insan mengenakan pakaian ihram dan melangkah untuk melaksanakan ibadatnya.


Lemang, nasi himpit, kuah kacang, rendang ayam dan sedikit kuih-muih. Juadah raya. Hanya menanti fajar Aidil Adha menjelma esok hari. Jauh berbeza suasana kali ini. Kebiasaannya ayahku akan mengalunkan takbir, tasbih dan tahmid. Lalu kami akan menuruti langkahnya. Kini hanya tinggal kami melakukannya sendiri-sendiri. Allah maha Pengasih.


Azan subuh 10 Zulhijjah. Dalam kesibukan kami hendak mendirikan solat subuh dan bersiap-siap untuk solat Aidil Adha kami didatangi khabar duka. Tok Ali yang emak ziarahi di hospital semalam telah dijemput yang maha Esa. Usai solat sunat Aidil Adha, sebahagian dari kami pergi menziarahi keluarga arwah dan memberi penghormatan terakhir kepadanya di Ipoh. Al - Fatihah.

Arwah Tok Ali dan isteri mempunyai ikatan kekuargaan yang begitu akrab dan istimewa sekali di hati emak dan arwah ayahku. Merekalah waris di sebelah emak yang mengiringi rombongan perkahwinan pihak perempuan semasa ayah dan emakku diijabkabulkan 31 tahun yang lalu. Uniknya nama pasangan ini juga kebetulan sama dengan nama mertua emakku iaitu Ali dan Nya. Emak begitu menghargai mereka kerana nilai memori yang begitu nostalgia di hari bersejarah itu. (Aku teringin hendak melihat rupa kedua pasangan arwah Tok Ali dan Nya ini tapi orang dulu-dulu... tak hobi nak bergambar)

Lewat tengahari Atok Z menghantar daging korban. Anaknya membuat korban seekor lembu tahun ini. Alhamdulillah. Mudah-mudahan bertambah murah rezeki Uncle M sekeluarga. Sayangnya tidak ada sesiapa yang menolong mereka melapah dan mengagih-agihkan daging korban tersebut. Hanya mereka sekeluarga yang berpenat-lelah. Apakan daya. Kami yang ada pun sibuk dengan upacara pengkebumian. Mungkin inilah sebenar-benarnya pengorbanan. Bukan sahaja wang ringgit tetapi tenaga dan keringat yang dicurahkan sehabis mungkin dalam melaksanakannya. Hujan renyai-renyai turun dari gelincir matahari hingga mendaki senja juga membawa rahmat. Mendamai dan mengharumkan alam. Aku? Aku sempat mencuri masa mengabadikan suatu keunikan ke atas sekeping lembaran kertas.

Tiada yang lebih meriah dan menyeronokkan selain berkumpul beramai-ramai. Pakcik makcik dan sepupu dari dua buah keluarga turut balik ke kampung. Penambah rencah kehidupan. Makan malam istimewa, mee sup tulang! Selain hiruk pikuk dengan jamuan selera ada juga jamuan mata untuk menghabiskan malam. Hidangan 'tv'.

P/S: Sempatlah juga saling berziarah ke rumah AtokZ.

.

No comments: