Monday, February 11, 2008

Eye On Malaysia

Di perkarangan Eye On Malaysia. 10.02.08



Di dalam salah sebuah gondola E.O.M.


Dari empat hari cuti umum CNY, aku mengambil hari terakhirnya untuk berehat.Tiada yang lebih baik melainkan mengisi masa cuti sebegini bersama keluarga tersayang. Oleh itu, tanpa merancang kami sekeluarga telah pergi ke Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk menaiki Eye On Malaysia.

Pada mulanya aku khuatir dan takut juga untuk menaikinya tetapi apabila mengenangkan menaiki kapal terbang kedudukannya jauh lebih tinggi dari ini, tiada apa yang perlu ditakuti.

Oleh kerana keluarga kami besar, kami menaiki dua buah gondola. Setiap penumpang akan diawasi oleh staff EOM ketika menaiki dan menuruninya. Bagi pelancong OKU seperti aku pula, sedikit 'adjustment' diperlukan untuk membolehkan kerusi rodaku menaiki gondola tersebut dan semuanya dilakukan oleh staff EOM yang terlatih. Selepas kesemua gondola dipenuhi penumpang ferris wheel itu akan membuat putaran lengkap.

Tidak ada perasaan takut ketika menaikinya, cuma apabila semakin tinggi dan mencapai puncak terasa agak gerun bila memandang ke bawah. Namun dari atas kami berpeluang melihat sekeliling yang begitu menarik, kerdil dan saujana mata memandang. Di satu sudut KLCC, KL Tower dan Istana Budaya menjadi sebuah pemandangan yang begitu membanggakan.

Indah dan uniknya pengalaman ini. Ketika berada tinggi di puncak pusingan ferris wheel, segala yang di bawah kelihatan terlalu kerdil dan jauh dari gapaian. Sejenak aku merasakan andai insan terlalu lama berada di puncak, dia akan merasa kehilangan dan sesat tatkala memijakkan kaki ke bumi; dia akan kehilangan jati diri dan jejak yang hakiki. Nyata berada di puncak tidak selamanya menjanjikan syurga kerana setiap yang mengisi alam semesta ini ada tempoh dan waktunya serta tidak akan pernah kekal abadi. Kerana itu, KESEDERHANAAN adalah kunci segala sesuatu.

Syukur alhamdulillah atas pengalaman ini. Izinkan aku akhiri kalam hari ini dengan secebis pesanan ulama buat diriku sendiri dan para tetamu halamanku ini.


“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,

sampai kamu masuk ke dalam kubur.

Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),

dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.

Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,

niscaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim, dan sesungguhnya

kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainulyaqin,

kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang

kamu megah-megahkan di dunia itu).”(Surah at-Takatsur [102]:1-8)


Hamka ketika mengakhiri penafsirannya tentang surah ini memperingatkan; “Segala kepuasan duniawi adalah nikmat, semuanya akan ditanyakan. ALLAH akan menanyakan kepada hamba-NYA bagaimana dia memakai nikmatNYA dan bagaimana dia membayarkan haknya. Sebab itu hati-hatilah kita mensyukuri segala nikmat ALLAH dan janganlah lupa kepada yang menganugerahkan nikmat, kerana dipesona oleh nikmat itu sendiri.”



No comments: